Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

SEPANG – Sektor pengangkutan negara tidak akan terjejas dengan kewujudan mutasi Covid-19 terbaharu varian Omicron.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kementeriannya akur dengan keputusan kerajaan mahu menangguh sementara peralihan negara ke fasa endemik kerana mahu membuat kajian terhadap varian Omicron.

“Maka, ia tidak menjadi isu untuk sektor pengangkutan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kompleks itu dihadiri dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ka Siong, ketetapan penangguhan itu menyusul kerana kerajaan mahu melakukan kajian terperinci mengenai varian Omicron sebelum bersedia melaksanakan fasa endemik.

“Kita sedang fokus ke arah fasa endemik dan ia mempunyai strategik tertentu. Maka saya rasa tidak ada masalah (lewatkan fasa endemik),” katanya.

Beiau menambah, buat masa ini wujud keperluan untuk memantau oleh Kementerian Kesihatan mengenai sifat dan keagresifan virus varian baharu itu walaupun tiada kes dilaporkan dalam negara.

Pada Selasa, kerajaan membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan fasa peralihan dari pandemik ke endemik disebabkan wujud pelbagai ketidaktentuan berkaitan penularan varian terbaharu Covid-19 itu.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, perkara mengenai varian Omicron telah dibincangkan mendalam dalam mesyuarat tersebut sambil menyifatkan sekiranya satu lagi gelombang penularan virus akan meletakkan progres malaysia dalam melawan Covid-19 dalam risiko.

“Kita sedang memantau negara-negara yang telah dikesan jangkitan varian Omricon,” tegasnya semalam.- MalaysiaGazette