Pegawai perubatan Veterinar Pulau Pinang memberi suntikan vaksin bagi mencegah pelbagai penyakit kepada kucing di Cat Beach Sanctuary di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

TELUK BAHANG – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang menerima sekurang-kurangnya 15 aduan pengabaian dan penderaan haiwan setiap bulan.

Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kebanyakan kes membabitkan haiwan yang ditinggal atau dibiarkan pemilik selain terdapat haiwan peliharaan yang dicederakan.

Dr. Saira Banu

Jelas beliau, paling banyak aduan yang diterima membabitkan pengabaian dan penderaan kucing serta anjing.

“Jumlah aduan kes penderaan serta pengabaian yang kita terima menunjukkan perkembangan yang membimbangkan.

“Bagaimanapun, daripada siasatan yang dijalankan daripada aduan itu wujud aduan tidak tepat yang mana tiada pengabaian haiwan berlaku seperti didakwa.

“Selalunya, kita bersama pegawai daripada bahagian penguatkuasaan akan turun padang melakukan siasatan sejurus menerima aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Membantu Kucing Terbiar/Jalanan di Cat Beach Sanctuary, Jalan Teluk Awak semalam.

Program berkenaan adalah projek tanggung jawab sosial korporat antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dengan Kelab Kucing Malaysia dan Persatuan Suara Animal Malaysia.

Kira-kira 300 kucing jalanan dan terbiar di tempatkan di Cat Beach Sanctuary, Teluk Bahang di sini.

Menurut Dr. Saira Banu, lebih 300 kucing jalanan dan terbiar di tempatkan di perlindungan itu dan 100 daripadanya menerima tajaan suntikan vaksin bagi mencegah pelbagai penyakit seperti membabitkan pernafasan, penyakit dalaman dan parvo.

“Kita juga menyumbangkan ubatan lain bagi kesihatan kucing di sini seperti ubat cacing, ubat untuk kegunaan luka dan jangkitan pada kuku.

“Ia adalah sebahagian daripada kempen kesedaran supaya tidak mengabaikan penjagaan dan kesihatan kucing.

“Orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak veterinar agar indakan lanjut dapat diambil mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722),” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi menaik taraf tempat perlindungan kucing itu.

Khalid.

“Kucing yang ditempatkan di sini bukan sahaja diberi makan malah dirawat sehingga pulih sekiranya cedera atau sakit.

“Justeru, kami memerlukan sangkar atau tempat perlindungan kucing yang lebih sesuai supaya lebih banyak kucing dapat diselamatkan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan bagi menaik taraf tempat perlindungan kucing itu.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan bagi kegunaan kucing di sini, ” katanya. – MalaysiaGazette