Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 17 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang COVIDNOW.

Ia merupakan antara jumlah kematian terendah yang dicatatkan oleh negara setakat ini.

Manakala jumlah kumulatif angka korban akibat wabak tersebut kini mencecah 30,538 kes dengan empat kes merupakan kematian di luar hospital (BID).

Selangor mencatatkan tiga kes kematian akibat Covid-19 sementara di Negeri Sembilan, Perlis, Sabah, Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan dua kes.

Sementara di Johor, Kelantan, Melaka dan Sarawak pula mencatatkan hanya satu kes kematian akibat wabak tersebut.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan di Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Putrajaya dan Labuan.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang berkenaan turut melaporkan jumlah kes yang masih lagi aktif iaitu sebanyak 62,486 kes dengan 5,024 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di hospital.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 50,925 kes bersamaan dengan 81.5 peratus manakala seramai 6,038 kes (9.7 peratus) ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. – MalaysiaGazette