Mohd Shaid Rosli

SHAH ALAM – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berpuas hati dengan peraturan sesetengah Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya yang tidak membenarkan mereka bersuara dalam mesyuarat yang diadakan.

Mohd Shaid Rosli (Pejuang-Jeram) berkata, kehadiran beliau sebagai wakil rakyat dalam mesyuarat khas Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran hanya sekadar sebagai pemerhati.

“Kalau dalam mesyuarat penuh mungkin tidak sesuai untuk kita bangun mencelah atau memberi pandangan kerana masa mesyuarat agak singkat, tetapi dalam mesyuarat khas pun tidak boleh.

“Saya faham dalam mesyuarat penuh yang melibatkan ADUN dan pegawai, ketika itu memang tidak sesuai untuk kita berbincangkan mengenai pembangunan dan sebagainya,” katanya yang mencelah sesi perbahasan pindaan Rang Indang-Undang (RUU) Enakmen Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) 2021 pada sidang DUN Selangor di sini, hari ini.

Beliau menyatakan rasa tidak puas hati itu, sebaik Juwairiya Zulkifli (PKR-Bukit Melawati) menegurnya kemungkinan tidak pernah hadir pada mesyuarat di Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran itu.

Juwairiya Zulkifli
Juwairiya Zulkifli

“Yang YB Jeram sebutkan tadi (tidak puas hati) itu mungkin YB tidak hadir mesyuaratlah kot, kerana kami di MPKS memang mesyuarat diadakan berterusan.

“Malah, saya menyambut baik komitmen MPKS yang meneruskan mesyuarat dua hala dengan Ahli Parlimen dan ADUN melibatkan kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Dr. Idris Ahmad (PKR-Ijok) bangun mencelah memberitahu, memang mereka dijemput, tetapi peranan ADUN dalam mesyuarat Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran itu tidak boleh bersuara, hanya sekadar menjadi pemerhati.

Dr. Idris Ahmad

Ronnie Liu (DAP-Sungai Pelek) kemudian berkata, ADUN boleh minta izin untuk bersuara dan kalau tidak dibenarkan, itu tidak betul.

Kemudian Halimey Abu Bakar (PKR-Seri Setia) bangun menyatakan, kadang-kadang mungkin ada Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran lain yang menetapkan peraturan itu dan masing-masing berbeza syarat mesyuarat.

“Saya ambil contoh di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini, kita (ADUN) boleh bercakap, tetapi kena mohon terlebih dahulu.

“Kita tidak boleh bangun bersuara kalau tidak mohon. Memang tidak dibenarkan, atas alasan kita ini hadir sebagai pemerhati.

“Tetapi, kalau nak berbicara, kena mohon awal, kena maklum kepada pihak Datuk Bandar terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau minta Exco yang bertanggungjawab agar menetapkan satu dasar sama ada ADUN atau Ahli Parlimen boleh mencelah atau tidak dengan menyelaraskan bagi semua Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran. – MalaysiaGazette