KUALA LUMPUR – Tindakan menubuhkan satu unit khas, Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bagi mengendalikan dan menyiasat kes-kes yang membabitkan kematian di dalam tahanan polis adalah selaras dengan perjuangan Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).

Langkah ini mendukung hak asasi manusia agar kes-kes kematian dalam tahanan dalam sesebuah lokap di balai atau IPD tidak disiasat oleh balai yang sama di mana kejadian kematian itu berlaku.

EDICT mengalu-alukan penubuhan unit siasatan yang baharu ini selaras dengan saranan Mahkamah Tinggi di dalam kes Ganga Gouri yang mana Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim.

Kamardin dalam penghakimannya menyatakan: ”Akhirnya, saya ingin membuat pemerhatian bahawa seorang pegawai penyiasat bagi kes-kes kematian semasa dalam tahanan pihak polis, adalah wajar pegawai penyiasat daripada balai polis atau IPD yang lain menjalankan siasatan. Lebih-lebih lagi sekiranya dalam kes kematian tersebut terdapat tohmahan bahawa pegawai atau anggota balai polis yang sama dikatakan terlibat dengan kematian simati tersebut. Ini adalah supaya siasatan tersebut dilihat lebih transperen, berintegriti serta meyakinkan semua pihak terutama ahli keluarga kepada simati,”.

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi pihak polis daripada balai yang sama atau pun daripada IPD yang sama menyiasat mana-mana kes kematian yang berlaku.

Penyiasatan sebegini akan dilihat seperti tidak adil, tidak munasabah dan semestinya tidak akan diyakini oleh masyarakat umum.

”Untuk itu EDICT mengalu-alukan penubuhan unit penyiasatan yang baru buat masa ini. Dengan wujudnya unit khas ini, EDICT mengharapkan agar siasatan dapat dijalankan dengan penuh telus dan terbuka agar keputusansiasatan tersebut diyakini oleh orang awam.

”Siasatan juga hendaklah dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan pendakwaan harus dilakukan sekiranya wujud unsur jenayah, kecuaian atau pengabaian tugas dalam mana-mana kes,” katanya.

EDICT juga menyarankan kepada kerajaan agar segera mewujudkan satu Akta Koroner yang spesifik bagi menggantikan sistem Mahkamah Koroner sedia ada.

Terdapat banyak pembaharuan kepada sistem Mahkamah Koroner yang perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan pentadbiran sistem keadilan negara berjalan dengan baik dan meyakinkan.

Pada masa yang sama, EDICT menekankan bahawa RUU IPCC yang bakal dibentangkan di Parlimen wajib ditarik balik dengan serta-merta.

Bagi memastikan pembaharuan serta reformasi kepada PDRM tercapai, EDICT menuntut agar Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja berkenaan PDRM yang ditubuhkan pada tahun 2005 dilaksanakan dengan serta-merta.

RUU IPCC yang dicadangkan sekarang tidak akan membawa apa-apa perubahan atau pun reformasi yang bermakna dan meyakinkan terhadap PDRM. – MalaysiaGazette

USJKT siasat tahanan mati dalam lokap