KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu platform langsung antara penternak dan pengeluar bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak ketiga.
Pengerusi Biro Keusahawanan dan Sosioekonomi PPMM, Mohd Afiq Salim berkata, dengan cara itu, ia akan menstabilkan harga barang, sekali gus menyelesaikan isu kenaikan harga yang seolah tidak dapat dikawal ketika ini.
“Dengan harga ditetapkan mengikut pasaran semasa, pengeluar akan menetapkan satu kos yang tetap, stabil dan bersesuaian, manakala pengguna pula dapat membelinya tanpa bimbang mengenai sebarang kenaikan harga.
“Isu orang tengah dan pemanipulasi ini bukan baru diperkatakan, ia berlaku sejak puluhan tahun dahulu lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Justeru, kata Mohd Afiq, pengenalan platform tunggal ini akan membantu menyelesaikan isu itu yang menjadi topik perbincangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Selain itu, PPMM juga berpendapat pengumuman kerajaan membenarkan ayam diimport boleh menyelesaikan isu kenaikan harga untuk jangka masa pendek.
“Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, mahu tidak mahu, semua pihak perlu sama-sama mengawal ekosistem ini tanpa dimonopoli satu pihak sahaja.
“Penentuan siapa yang berhak mendapat lesen perlu diperhalusi semula dan di sinilah penyertaan Bumiputera perlu dinilai agar industri ini tidak terhad kepada pihak tertentu sahaja seperti yang berlaku ketika ini.
“Apa yang penting juga adalah ilmu kepenggunaan itu sendiri perlu ada pada setiap individu di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya maklumat mengenai isu pengguna, pilihan terbaik dapat dibuat dan mengelakkan daripada terus tertipu oleh pihak yang sengaja memanipulasi harga untuk mengaut untung mudah. – MalaysiaGazette