Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Penggunaan air di Selangor setiap individu mencecah 220 liter sehari berbanding 200 liter sehari kadar nasional.

Kadar itu mendorong Air Selangor dan kerajaan negeri untuk membuat kajian mencari punca penggunaan sumber air yang banyak.

Menurut Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim, penggunaan itu juga lebih daripada Singapura, yang mana rakyatnya mengguna 165 liter sehari per individu iaitu kadar yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Jika diteliti, pengunaan air di Selangor ini sangat tinggi, jauh lebih tinggi dari Singapura dan purata peringkat nasional, malah dunia.

“Jadi, kita harus melihat semula kenapa rakyat Selangor menggunakan air banyak sangat daripada kadar yang diperlukan.

“Mungkin kereta terlalu banyak atau seorang individu memiliki dua atau tiga kenderaan dan sebagainya yang menyebabkan penggunaan air menjadi lebih tinggi,” katanya dalam sesi pertanyaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Saari Sungib (PKR-Hulu Kelang) yang bertanyakan kadar penggunaan air oleh rakyat Selangor dan darimana sumber air diperolehi.

Jelas Ir. Izham, sumber air untuk bekalan kepada rakyat Selangor diperolehi dari hujan, bawah tanah dan sebagainya.

“Kita ada ada tujuh empangan. Ada tanya kenapa tidak guna air empangan, mengambil air sungai?

“Kalau kita gunakan tujuh empangan ini, separuh sahaja rakyat Selangor yang ada air. Ia tidak cukup. Jadi, kita terpaksa ambil dari sungai yang ada di negeri ini seperti Sungai Langat dan Sungai Damansara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast