Dr Muhamad Akmal Saleh Pulau Gadong Covid-19 cluster Melaka state election tahfiz centre madrasah Kolej Vokasional Melaka Tengah Covid-19 cluster Jalan Tun Telani Cluster students vocational college HFMD hand foot and mouth disease infectious
Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Angka positif Covid-19 bagi Kluster Pulau Gadong akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meningkat kepada 137 orang melibatkan pelajar dan guru berbanding 41 kes sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan sebanyak 234.1 peratus itu hasil saringan terhadap 224 pelajar dan guru di dua buah pusat tahfiz.

Menurut beliau, keputusan menunjukkan sebanyak 137 disahkan positif manakala baki 87 yang negatif diarahkan menjalani tempoh kuarantin sejak 25 November lalu.

“Risiko penularan wabak ini dalam komuniti bagaimanapun rendah memandangkan kesemua pelajar dan guru madrasah terbabit berada dalam radius kawasan berkenaan sahaja.

“Ia (Covid-19) tidak akan tersebar dalam komuniti dan dijangka tamat kuarantin pada 14 Disember ini jika tiada kes jangkitan baharu, kecuali kalau ada kes baharu tempoh kuarantin mereka akan dilanjutkan 10 hari lagi,” katanya ketika ditemui di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh hari ini.

Dr Akmal juga telah meninjau sendiri keadaan di madrasah berkenaan malam tadi dan mendapati semua mereka dalam keadaan sihat di bawah kategori satu dan dua.

“Setakat jangkitan hanya membabitkan guru dan pelajar di dua madrasah berkenaan sahaja dan mereka juga berada di asrama sejak kes indeks pertama pada 25 Disember.

“Jadi mereka ini tiada langsung dengan kontak luar dan saya percaya orang ramai tidak perlu bimbang jangkitan Kluster Pulau Gadong ini akan berlaku dalam komuniti,” katanya.

Isnin lalu, Melaka dilaporkan merekodkan tiga kluster baharu termasuk satu kluster akibat PRN Melaka yang menyaksikan 41 orang positif selepas 20 November lalu.

Kluster Pulau Gadong dikaitkan dengan PRN apabila daripada 185 yang disaring, 41 disahkan positif melibatkan pelajar, guru dan kakitangan dua pusat tahfiz.

Kes indeks bermula apabila pada 21 November apabila guru berkenaan mempunyai simptom telah mengajar di dua buah pusat tahfiz berkenaan pada 22 dan 23 November sebelum beliau disahkan positif pada saringan dibuat pada 25 November.

Kedua-dua madrasah itu juga ditutup sehingga 17 dan 18 Disember ini di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Akmal berkata, tempoh pembukaan PKRC MITC yang akan tamat pada 19 Disember ini akan dilanjutkan lagi sehingga Jun tahun depan.

Perkara itu katanya, diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

“Tempoh lanjutan selama enam bulan ini bagaimanapun bukanlah disebabkan berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gelombang atau varian baharu virus ini.

“Biarpun kemasukan ke PKRC MITC hanyalaah 24.7 peratus sahaja atau sekitar 300 pesakit berbanding kuota 1,500 katil yang disediakan, kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh ini,” katanya.- MalaysiaGazette