KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperkemaskan skim sewa beli atau Rent-To-Own bagi membantu usahawan-usahawan memiliki premis perniagaan dalam masa terdekat.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dasar itu diperkenalkan beliau ketika menerajui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebelum ini dan ia perlu diperluaskan, sekali gus meningkatkan pemiliknya aset dalam kalangan Bumiputera di negara ini.
“Sebelum ini saya yang perkenalkan konsep sewa beli atau Rent-To-Own. Insya-Allah saya akan perkemaskan balik konsep Rent-To-Own dengan PUNB dan Bank Rakyat.
“Kita nak mana-mana usahawan yang sudah mula berniaga sekurang-kurangnya tiga tahun, terbukti peniaga yang baik berpeluang memiliki premis perniagaan sendiri,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya akan berunding dengan pemilik hartanah termasuk kilang dan rumah kedai untuk proses pembelian sebelum diserahkan usahawan yang layak bagi tujuan sewa beli.
“Masalah saya tengok ini penilaian, kalau kita panggil juru nilai bangunan ini boleh jadi RM2 juta, tapi tuan tanah nak jual RM2.5 juta, lebih RM500,000
“Juru nilai tak tahu bahawa tuan tanah dah labur lebih RM700,000.
“Kalau tuan tanah nak jual RM2.5 juta, saya sanggup beli, biarlah rugi RM500,000 daripada nak pecah balik kilang ini, nak pindah lagi, buat ubah suai lagi,” ujarnya.
Menurut Noh, dalam usaha melahirkan usahawan Bumiputera, ramai lupa kepada saranan kerajaan sebelum ini mengenai pemilikan 30 peratus aset dalam kalangan Bumiputera di negara ini.
“Nak melahirkan usahawan ini, kita kena meramaikan usahawan Bumiputera dan jangan lupa dalam masa sama kita juga nak memperbanyakkan aset-aset kepunyaan Bumiputera.
“Dulu kerajaan kata 30 peratus Bumiputera kena ada aset tapi hari ini tak banyak mana ada, nak beli tak mampu, nak beli kilang tak mampu.
“Saya yakin kalau Rent-To-Own kita perkenalkan konsep mudah, Bank Rakyat atau PUNB beli, tak payah sewa lagi, bangunan ini milik Bumiputera sekali gus tambah aset Bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette