Kakitangan Kerajaan tidak melepaskan peluang menonton pembentangan Bajet Perak 2022 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika tinjauan Malaysia Gazette di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Prihatin terhadap anak-anak yang kehilangan ibu bapa kerana positif Covid-19, kerajaan  Perak hari ini memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk membantu golongan berkenaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu bagi mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak untuk menampung sara hidup dan pendidikan mereka sehingga usia 21 tahun.

“Ada anak-anak yang dihimpit duka apabila secara tiba-tiba hilang tempat bergantung kerana kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Saya ingin menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 250 orang pelajar kita yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Kerajaan negeri turut memberikan bantuan bulanan RM300 kepada penjaga anak-anak yatim dengan mengunakan skim saham FELCRA.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan akan meneruskan bantuan Kad Perak Prihatin sejumlah RM22.8 juta yang akan memanfaatkan 20,000 penerima.

“Melalui inisiatif ini, Kad Makanan diteruskan pada kadar RM80 sebulan manakala Kad Kesihatan pada kadar RM150 setahun.

“Pada masa yang sama, peruntukan sebanyak RM3.0 juta akan disediakan pada tahun hadapan untuk meneruskan program bantuan Kotak Makanan bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan.

“Di samping peruntukan ini, GLC Negeri akan turut menyumbang bantuan yang sama jika terdapat sebarang keperluan tambahan. Ini merupakan komitmen mereka untuk bersama-sama kerajaan membela kebajikan rakyat yang memerlukan,” katanya lagi.

Langkah ini seiring dengan peruntukan RM25 juta yang diperuntukkan kerajaan persekutuan sebelum ini menerusi Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perak peruntuk RM1.1 bilion untuk Bajet 2022