Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 298 kes baharu varian Covid-19 dilaporkan dari 19 November hingga 8 Disember lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IPP) telah mengenalpasti sebanyak 115 kes baharu – semuanya Variant of Concern (VOC) yang mana 108 adalah varian Delta (B.1.617.2) dan enam varian Beta (B.1.1351).

Katanya, Fakulti Perubatan Universiti Malaysia (FPUM) pula telah mengenalpasti 109 kes baharu yang semuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2) dan satu varian Omicron (B.1.1.529).

“Selain itu, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) juga telah mengenalpasti 44 kes baharu yang semuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Di samping itu, Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) juga telah mengenalpasti 17 kes baharu yang semuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).

“Manakala Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) pula mengenalpasti 13 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC, di mana 12 adalah varian Delta (B.1.617.2) dan satu varian Beta (B.1.1351),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 4,990 kes.

Daripada jumlah yang dikesan itu 4,970 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI, katanya.

Secara keseluruhannya, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 4,722 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan satu kes varian Omicron.

Bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Sementara itu, mengenai kes harian jangkitan positif Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 4,690 kes sembuh telah dilaporkan menjadikan kes kumulatif 2,596,509 kes atau 96.6 peratus.

Kes baharu pula sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 4,626 kes menjadikan kes kumulatif kepada 2,688,149 kes.

Menurut beliau, daripada kes baharu itu, kes import ialah 20 kes yang melibatkan 15 warganegara dan lima bukan warganegara.

“Kes tempatan ialah 4,606 kes iaitu 4,440 warganegara (96.4 peratus) dan 166 bukan warganegara (3.6 peratus), manakala kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 396 kes iaitu 344 kes disahkan Covid-19, 52 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 211 kes iaitu 146 kes disahkan Covid-19, 65 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Positif Covid-19 turun 4,626 kes hari ini