KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) didaftarkan sebagai parti politik boleh menaikkan nama baik institusi kehakiman negara ini.
Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menyangka keputusan itu berpihak kepadanya setelah berdepan pelbagai rintangan sejak parti itu mula ditubuhkan hampir dua tahun lalu.
“Hari ini penuh dengan emosi dan sedih kerana tahun ini adalah tahun yang penuh dengan rintangan dan cabaran.
“Melalui keputusan ini demokrasi terbaik institusi kehakiman itu sendiri yang disegani dan dihormati, malah MUDA berterima kasih kepada institusi kehakiman negara kerana kemenangan pada hari ini sejujur tidak berpihak kepada kami semata-mata.
“Sistem demokrasi negara akhirnya kami ada tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan, cadangan untuk membangunkan negara tercinta, apabila kami bermula setahun setengah lepas,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.
Peguam MUDA, Lim Wei Jiet berkata, mahkamah turut menolak alasan yang diberikan pihak kerajaan sebelum ini kerana parti pimpinan Syed Saddiq itu prejudis kepada keselamatan negara adalah tidak berasas.
Syed Saddiq juga memaklumkan, susulan keputusan itu, beliau dan 12 yang lain dalam MUDA komited untuk menggunakan peluang yang diberikan mahkamah pada untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.
“Perjalanan kami bermula hari ini dan kita akan buktikan pada rakyat Malaysia bahawa kita di sini berkhidmat untuk rakyat.
“Menang kalah itu kena ketepi tetapi selagi hati berada di tempat yang betul, saya agak yakin Insya-Allah kita akan berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: