PETALING JAYA – Seorang penerima vaksin penggalak (booster) terkejut apabila namanya dibatalkan kerana lewat satu jam daripada waktu janji temu yang tercatat dalam MySejahtera.
Penerima itu, yang mahu dikenali sebagai Ann berkata, dalam MySejahtera tertera waktu beliau menerima vaksin booster di sebuah klinik di Subang Jaya pada jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan cuaca hujan dan jalan sesak, beliau sampai di klinik yang terletak di SS15 Subang Jaya itu pada jam 4.30 petang.
“Sebaik masuk ke klinik berkenaan dan serahkan Mykad, kakitangannya memaklumkan nama saya telah dibatalkan kerana sampai lewat satu jam dari waktu ditetapkan.
“Kakitangan itu memberi alasan, apabila bungkusan vaksin sudah dibuka, ia perlu disuntik pada kadar segera kepada penerimanya, tidak boleh dibiarkan begitu lama,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Berikutan itu, kata Ann, klinik berkenaan memintanya datang lain kali selepas mendapat maklum balas dari MySejahtera, tetapi tidak pasti tarikh janji temu berikutnya bila.
Katanya, beliau bertanyakan kepada kakitangan klinik berkenaan, adakah vaksin yang dikhususkan untuknya telah rosak kerana lewat satu jam dari waktu yang sepatutnya disuntik.
“Kakitangan itu menjawab, vaksin berkenaan telah diberikan (suntik) kepada penerima lain yang datang tepat pada masanya.
“Saya tanya, adakah penerima vaksin yang dikhususkan kepada saya itu datang ke klinik ini mengikut MySejahtera? Mereka diam tidak memberi sebarang jawapan.
“Tindakan klinik ini meragukan saya, kerana saya tinggal di Shah Alam dan MySejahtera menetapkan klinik yang agak jauh dari tempat tinggal dan tempat kerja saya,” katanya.
Menurutnya, beliau bukan sengaja sampai lewat, tetapi kelewatan itu disebabkan hujan dan jalan sesak. – MalaysiaGazette