KUALA LUMPUR – Bintang Singapura dalam pembinaan, Loh Kean Yew terus menampilkan aksi luar biasa di Kejohanan Badminton Dunia apabila muncul juara dalam acara perseorangan lelaki, malam tadi.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mencipta sejarah dengan menjadi pemain Singapura pertama memenangi pingat emas.
Dia yang berusia 24 tahun menundukkan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 dalam aksi final kejohanan yang berlangsung di Huelva, Sepanyol.
Sebagai rekod, belum pernah mana-mana pemain negara berkenaan memenangi pingat atau muncul juara dalam kejohanan berprestij itu sebelum ini sejak diperkenalkan pada 1977.
Kean Yew yang berada di kedudukan ranking ke-22 dunia menunjukkan petanda awal betapa dia adalah pencabar bagi kejuaraan tahun ini selepas menyingkirkan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan pertama.
Dia yang menumbangkan juara dunia lima kali, Lin Dan ketika menjuarai saingan Masters Thailand 2019 kemudiannya menewaskan pemain Austria, Luka Wraber di pusingan kedua sebelum menundukkan Kantaphon Wangcharoen dari Thailand untuk menempah tiket ke suku akhir.
Pemain India, HS Prannoy menjadi mangsa Kean Yew di suku akhir sebelum dia mengatasi pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen di separuh akhir sekali gus menempah slot ke pentas final.
Pencapaian pemain yang dilamar Singapura ketika berusia 12 tahun itu menyaksikan negara berkenaan kini mengatasi Malaysia yang masih ketandusan juara dunia. – MalaysiaGazette