Gambar fail

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyambut baik langkah kerajaan yang akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini, berkuatkuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

Setiausaha PAPSMA, Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya bersetuju dengan MoU itu kerana garis panduan dalam memorandum tersebut merangkumi proses dan dasar terperinci yang ditetapkan untuk agensi pengambilan berlesen kedua-dua negara secara serentak.

“Kami gembira kerana Kementerian Sumber Manusia telah memberikan pengiktirafan dan mandat kepada kami untuk terlibat dalam proses pengambilan pekerja Bangladesh ke dalam pelbagai sektor yang diluluskan di Malaysia.

“PAPSMA ingin memberi jaminan kepada kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Bangladesh bahawa kami akan mematuhi dan mengikuti prosedur dan garis panduan yang ditetapkan dengan tegas untuk pematuhan untuk membantu semua majikan di Malaysia dalam mempercepat dan melancarkan aliran pekerja Bangladesh ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed menandatangani MoU selama lima tahun mengenai pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini.

MoU tersebut menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuk berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua buah negara.

Pelaksanaan MoU itu akan dikawal selia oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang dianggotai oleh kedua-dua negara. – MalaysiaGazette