Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15, Hulu Langat juga mengalami kerosakan teruk. dalam banjir baru-baru ini.

HULU LANGAT – Selain rumah penduduk yang terkesan akibat banjir pada 18 Disember lalu, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15, Hulu Langat juga mengalami kerosakan teruk.

Maahad itu dinaiki air hampir dua meter dalam kejadian bah besar itu.

Lebih menyedihkan, bangunan asrama pelajar lelaki yang terletak bersebelahan Sungai Lui dilanda banjir dan arus deras sehingga musnah sama sekali.

Ketika kejadian, tiada sesiapa berada di situ kerana semua pulang bercuti dan tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya pada hari itu pelajar berada di asrama kerana hujan lebat sepanjang hari dan tiba-tiba arus banjir deras datang melanda.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Sofa, Ustaz Abdullah Abdol Razak bersama Skuad Sofa Prihatin yang bergegas ke maahad berkenaan  tergamam melihat keadaan persekitaran maahad yang sebelum ini indah dan tenang bertukar bagaikan padang lumpur.

Banyak pokok tumbang dan segala peralatan asrama, pakaian dan buku pelajar berselerakan.

“Sebak hingga hampir menitiskan air mata saya melihat keadaan Maahad tahfiz yang rosak teruk. Nasib baik ketika kejadian semua pelajar balik. Takut saya hendak membayangkan seandainya anak-anak tahfiz ada di situ.

“Dalam kesedihan, kita masih boleh mengucapkan syukur dan Alhamdulillah. Benda yang rosak boleh kita ganti. Asrama yang musnah kita akan bangunkan semula tetapi seandainya ada kecederaan dan kehilangan nyawa, tiada apa yang dapat menggantikan mereka. Allah masih melindungi mereka,” kata Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, asrama pelajar perempuan dan bangunan pentadbiran serta kelas yang terletak tidak jauh daripada asrama lelaki turut mengalami kerosakan teruk.

“Semua buku dan peralatan pelajar habis musnah dan segala barangan dalam pejabat pentadbiran tidak boleh diguna lagi kerana habis disaluti lumpur,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan akan mencarikan penempatan sementara untuk pelajar lelaki memandangkan sesi persekolahan akan bermula awal tahun depan apatah lagi pelajar di situ akan mengambil peperiksaan SPM, Mac depan.

Maahad berkenaan menempatkan 35 pelajar lelaki dan 35 pelajar perempuan.

Sehubungan itu, Yayasan Sofa melancarkan Tabung Kilat – Rayuan Bantuan Banjir Yayasan Sofa untuk membangunkan semula asrama pelajar lelaki, membaik pulih peralatan yang rosak dan menyediakan keperluan pelajar terutama buku.

Abdullah menyeru rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan membantu meringankan bebanan mangsa banjir serta membangunkan semula Maahad Tahfiz As Sofa Hulu Langat.

“Saya percaya inilah masanya kita bersatu untuk membina dan mengembalikan semula penginapan pelajar yang roboh itu. Malah saya yakin, kita akan bina yang lebih baik dan kukuh daripada bangunan sebelum ini,” ujar beliau.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8600300235.– MalaysiaGazette