Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hashim bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan akan memberikan RM5,000 kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, ia merupakan salah satu daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI).

“Antara syarat kelayakan adalah seperti warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri (MyKad) yang sah; merupakan mangsa ketika bencana berlaku; mangsa mendiami atau menduduki rumah persediaan dan wajib mendaftarkan nama dengan maklumat lengkap menggunakan nama ketua isi rumah (KIR).

“Bagi yang tidak berpindah ke PPS perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) atau ketua kampungm (KK) masing-masing,” kata beliau ketika sidang media di Taman Sri Muda, hari ini.

Katanya, proses permohonan bantuan itu akan dipermudahkan.

Mangsa hanya perlu membuat laporan di pusat penempatan sementara (PPS) sebagai bukti mangsa terjejas dengan bencana tanpa perlu membuat permohonan.

Bagi yang tidak berpindah, mangsa perlu mendaftar dengan JPKK/MPKK/ketua komuniti/KK/penghulu di tempat masing-masing.

Kerajaan juga, tambahnya, akan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mempercepatkan proses pengagihan bantuan kepada mangsa terjejas.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Beliau mengarahkan bantuan itu dipercepatkan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa dalam menghadapi pasca banjir.

Terdahulu Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 37 kematian seluruh negara akibat banjir besar kali ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast