KUALA LUMPUR – Misi bantuan rakyat Malaysia ke Afghanistan selamat sampai di beberapa daerah di negara itu.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM), Sayed Khairul Mizan Ab. Wahab yang mengetuai Misi Kasih Afghanistan kepada media, semalam.
“Misi ini berada di Afghanistan sejak 15 Disember lalu dalam menyampaikan bantuan dari rakyat Malaysia yang prihatin.
“Beberapa siri bantuan makanan asas telah selamat disampaikan di beberapa kawasan daerah di Afghanistan antaranya Kabul, Parwan, Padusa dan Nangahar termasuk dua rumah anak yatim.
“Namun, melihat apa yang terjadi di tanah air sendiri dengan bencana banjir yang melanda, HaRUM mengambil inisiatif untuk mengadakan doa selamat khusus untuk Malaysia dan rakyat yang terjejas,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.
Dalam kejadian banjir Sabtu lalu, beberapa kawasan di Selangor terutama sekitar Shah Alam, Puchong, Hulu Langat serta beberapa kawasan lain termasuk Kuala Lumpur memberikan kesan amat mendalam.
Menurut Sayed Khairul Mizan, HaRUM telah menggerakkan beberapa bantuan untuk keluarga serta mangsa banjir yang terlibat di Selangor dan Kuala Lumpur walaupun pimpinannya dalam usaha misi bantuan kemanusiaan di Afghanistan.
“Agak terharu ada warga Afghanistan terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu HaRUM di bumi Khurasan bertanya keadaan di Malaysia dan adakah mendapat bantuan dari mana-mana pihak.
“Antara keprihatinan disampaikan adalah jika Afghanistan telah bangkit dan maju pasti apa jua bantuan yang Malaysia perlukan pada suatu hari nanti akan disampaikan oleh mereka.
“Justeru, atas rasa kasih sayang dan keprihatinan bersama, HaRUM mengambil inisiatif dan usaha kecil untuk mendoakan Malaysia dan mangsa banjir tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, mereka menganjurkan majlis doa selamat di Rumah Anak-Anak Yatim Ehsas, Wilayah Kabul dan bersama anak yatim di Kush Kumbhar, Jalalabad, Wilayah Nangarhar.
Katanya, kebanyakan anak yatim itu yang kehilangan ahli keluarga akibat serangan letupan bom ketika krisis peperangan berlanjutan. – MalaysiaGazette