Hari kelima Ibrahim Ali berada di lokasi banjir di Selangor menyumbang tenaga membantu membersih kediaman penduduk di Hulu Langat.

KUALA LUMPUR – Sejak hari pertama banjir pada Sabtu hingga semalam, pimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di peringkat pusat, negeri dan bahagian tidak pernah rehat daripada menyumbang bakti membantu mangsa banjir di Selangor.

Daripada bekalan makanan dan minuman sehingga menyumbangkan tenaga, Putra semua sayap di setiap bahagian turun ke lokasi menunaikan tanggungjawab kebajikan bagi memastikan mangsa banjir terbela.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, Putra Bahagian Gombak mengurus pengagihan makanan dan minuman di daerah yang terjejas teruk dilanda banjir di Puchong.

Manakala Putra Bahagian Hulu Langat menyumbangkan khidmat tenaga bagi membantu membersihkan kediaman penduduk yang hampir musnah di sekitar daerah itu.

“Saya sendiri turun ke lokasi sejak beberapa hari lalu dan menyaksikan sendiri kemusnahan kediaman penduduk akibat banjir saling tidak ubah seperti tsunami di Acheh pada 2004.

“Apa yang berlaku di Acheh ketika tsunami dulu, sama seperti yang berlaku di Hulu Langat. Tidak ada banyak bezanya, bertimbun timbun sampah.

“Alhamdulillah, saya diberitahu oleh mangsa baniir, bantuan makanan daripada NGO tidak putus-putus sampai kepada mereka. Yang diperlukan sekarang ialah tenaga sukarelawan untuk membersih kediaman,” katanya pada program membersih rumah mangsa banjir di Hulu Langat, semalam.

Lebih 100 sukarelawan dari tiga sayap Putra turun membantu mangsa banjir di Puchong dan Hulu Langat.

Menurut Dr. Ibrahim, sukarelawan dari tiga sayap Putra iaitu Wira, Wiranita dan Wirawati peringkat pusat, negeri dan bahagian turun ke lokasi bergotong royong.

Katanya, budaya Malaysia tersemat kemas dalam jiwa mereka, iaitu menolong secara berkelompok dengan menyumbang khidmat bakti bagi meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah.

“Di Malaysia ini banyak perkara mengejut berlaku. Banjir pun berlaku secara mengejut dan kita juga tidak kurang daripada mempunyai aset yang banyak dan canggih.

“Pelbagai aset kita ada melalui agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan sebagainya.

“Malangnya kerana kelemahan koordinasi yang dipertanggungjawabkan oleh Nadma yang gagal berfungsi sebagaimana sepatutnya, menyebabkan rakyat kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya.

Sebab itu, tegas beliau, adalah munasabah kalau banyak pihak mendesak Nadma dirombak semula, dilantik pimpinan baharu, struktur baharu, malah ada yang mendesak menteri bertanggungjawab meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette