DENGKIL – Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) digesa mempercepatkan proses penyaluran bantuan wang tunai kepada lebih 30,000 keluarga di Selangor yang terjejas akibat banjir besar, minggu lalu.
Meskipun ketiga-tiga pihak itu telah mengumumkan bantuan wang tunai itu minggu lalu, namun sehingga kini bantuan berjumlah RM2,600 itu masih tidak lagi disalurkan kepada mangsa banjir yang terjejas sejak 19 Disember lalu.
Perkara itu didedahkan salah seorang penduduk Kampung Sri Tanjung di sini, Muhammad Yusni Osman, 49, yang mendakwa dia sendiri masih belum menerima bantuan kewangan itu meskipun bencana itu telah berlalu seminggu lalu.
“Permohonan bantuan banjir kita sudah serah kepada ketua kampung, Nadma, Kerajaan Negeri Selangor dan zakat (LZS), dalam tiga bantuan ini, satu pun belum dapat lagi.
“Kalau salah satu dapat boleh laa kita bernafas, walaupun dapat RM500-RM600 kita sudah boleh hidup,” katanya.
Katanya, setakat ini dia dan beberapa keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini hanya menerima bantuan tunai RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita duduk di PPS dekat 10 hari, dapat RM100, itu pun sumbangan diberi Rina Harun (Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat) menerusi JKM.
“Nak makan apa dengan RM100 tu, nak beli itu, nak beli ini, dua tiga habislah RM100 itu, sekarang RM100 bukan macam zaman 80-an, kita boleh beli macam-macam. Sekarang ini nak beli satu raga RM100 pun tak cukup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette