SHAH ALAM – Jumlah mangsa banjir yang mencecah lebih 5,000 individu di dalam kawasan Dewan Negeri Sungai Kandis sejak 19 Disember lalu menyebabkan bantuan terpaksa diagihkan secara berperingkat-peringkat.
Perkara itu diakui Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang berdepan dengan kesulitan itu, namun boleh menarik nafas lega apabila pelbagai pihak menghulurkan bantuan sejak minggu lalu.
“Saya bersama rakan-rakan memindahkan 5,000 orang ke 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka ketika itu, ada yang rasmi dan ada juga tidak rasmi, di surau, masjid, sekolah, dan dewan orang ramai, bahkan ada pusat latihan turut menawarkan tempat mereka dijadikan PPS.
“Kerajaan Negeri Selangor menyediakan kotak makanan, selimut dan alas tidur untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir. Oleh kerana jumlah terlibat terlalu ramai, jadi mereka menerima bantuan berperingkat-peringkat.
“Mungkin satu rumah, satu dulu bantal dan selimut, tak dapat nak bagi semua, tetapi kita terima banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), negeri lain dan kita akan agihkan berperingkat-peringkat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berupa wang tunai berjumlah RM1,000 kepada 67 keluarga pertama yang terjejas akibat banjir besar di Dewan MBSA, Paya Jaras.
Ia merupakan sebahagian daripada 30,000 keluarga terlibat bencana banjir baru-baru ini dan insentif itu mula diagihkan bermula semalam.
Insentif BSB itu berupa sumbangan RM1,000 kepada ketua keluarga manakala waris mangsa banjir yang meninggal dunia akan menerima RM10,000. – MalaysiaGazette