Norizam Tukiman.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendakwa terdapat segelintir pihak yang menunggu beliau jatuh atau gagal dalam menguruskan pasukan bola sepak profesional.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak takut walaupun berdepan kegagalan.

“Saya tahu, ada yang tunggu saya jatuh, pengurusan baru gagal bayar gaji pemain atau macam-macam… asal bunyinya gagal.

“Tak apa, kalau gagal sekali pun saya akan anggap ia sebagai ‘hadiah’ untuk saya ketawa bila berjaya kelak. Tiada kesenangan tanpa kesusahan,” tulisnya di Facebook miliknya.

Sementara itu,  Zamsaham mengesahkan pemain import dari Brazil dan beberapa pemain dari Liga Super akan memperkuatkan pasukan The Red Warriors (TRW) musim depan.

Beliau juga memohon bantuan daripada mana-mana pihak yang boleh membantu pihaknya mempercepatkan proses untuk membawa pemain import dari Brazil itu dengan kadar segera.

Selain itu, Zamsaham turut mendedahkan sebanyak 12 penaja sudah menandatangani perjanjian penajaan bersama TRW yang akan bersaing di Liga Perdana.

“Alhamdulillah, ada yang taja duit, ada yang taja barangan termasuklah kereta untuk pemain import. Kalau main sedap penaja nak taja BMW.

“Tahun ini sudah dapat 12 penaja. Tapi ada dua slot lagi untuk peluang tajaan di jersi TRW Kelantan FC musim 2022,” tambah Zamsaham sambil menjelaskan mana-mana penaja yang berminat boleh menghubungi pihaknya. – MalaysiaGazette