Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Jenama pakaian sukan antarabangsa, Lotto Sport Italia menyambung tajaan mereka buat Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi musim 2022.

Tajaan menerusi Syarikat Prestige Sports Sdn. Bhd itu diberikan pilihan sambungan tajaan untuk tahun kedua (1+1) dengan nilai RM1.1 juta setahun.

KDA FC dalam satu kenyataan berkata, nilai tajaan termasuklah wang tunai dan dalam bentuk bentuk barangan Lotto Sport Italia bagi kegunaan pasukan Liga Super.

Menurutnya, tajaan itu juga melibatkan pasukan Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Bawah 17 tahun KDA FC bagi mengharungi musim 2022.

Jenama ini sudah menaja pasukan Kedah selama tiga tahun bermula pada musim 2019.

“Jenama antarabangsa ini turut menaja beberapa kelab di Eropah dalam mengukuhkan pasaran pakaian sukan di seluruh dunia.

“Antara produk yang dikeluarkan adalah baju-T. seluar, kasut dan barangan cenderahati eksklusif untuk semua peminat,” katanya di laman Facebooknya.

Selain bola sepak, Lotto Italia turut menghasilkan produk berkaitan sukan tenis. – MalaysiaGazette