Rodney Celvin Akwensivie. Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Bek tengah, Rodney Celvin Akwensivie akhirnya menjadi milik tetap Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila diikat selama dua tahun oleh Hijau Kuning.

Pemain tersebut yang dipinjam selama satu musim pada tahun lalu dari Selangor FC menjadi tonggak utama pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak, pada musim lalu.

Prestasi cemerlangnya meyakinkan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap dan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali bersama pasukan pengurusan telah mengadakan rundingan dengan Selangor FC bagi mendapat pelepasan secara penebusan kontrak Rodney Celvin.

Pemain berusia 26 tahun ini menjadi pemain tempatan terakhir yang diumumkan oleh kelab tersebut manakala tiga lagi pemain import baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

Rodney merupakan produk pasukan Belia Sarawak pada musim 2013 seterusnya mendaki status di pasukan Piala Presiden dan mendapat kepercayaan Datuk K Rajagopal sehingga disenaraikan dalam skuad utama Sarawak pada musim 2016.

Kelibat Rodney mula mendapat perhatian di peringkat kebangsaan dan mula mencuri perhatian kelab PKNS FC , tahun berikutnya bersama Selangor FC sejak 2020 sebelum dipinjamkan kepada pasukan KDA FC musim lepas.

Walaupun mengalami kecederaan tulang bahu di penghujung saingan Liga Super 2021, prestasinya sepanjang musim mendapat pujian melalui gandingan mantap bersama Renan Alves di bahagian pertahanan tengah pasukan KDA FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast