Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diiringi timbalannya, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) melakukan gimik pelancaran CyCORE pada Majlis Aspirasi Tahun Baru 2022 KPDNHEP di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) akan melaksanakan tindakan sekatan laman web atau penurunan kandungan dalam tempoh 48 jam bagi membenteras jenayah pelanggaran hak cipta filem digital atau cetak rompak filem digital secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya melalui Bahagian Penguat Kuasa mewujudkan Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE) bertujuan membenteras jenayah pelanggaran hak cipta filem digital itu.

Katanya, Program CyCORE merupakan satu kaedah terancang dikhususkan untuk penerbit filem tempatan atau pemilik hak cipta filem tempatan agar dapat bekerjasama dengan lebih 50 rakan strategik.

“Rakan strategik ini terdiri daripada agensi kerajaan, platform e-dagang dan penyedia perkhidmatan internet yang diselaraskan oleh kementerian dalam satu platform bagi mencegah kegiatan cetak rompak filem digital dalam talian.

“Program ini dilaksanakan melalui kaedah tindakan sekatan laman sesawang dan penurunan kandungan yang menjadi kaedah paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti pengedaran cetak rompak filem digital dengan kerjasama rakan strategik tanpa membabitkan institusi Kehakiman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 Anggota Pentadbiran KPDNHEP di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

CyCORE diwujudkan dengan tiga objektif utama iaitu mengadakan satu platform kerjasama di antara kementerian dan rakan strategik dengan pemilik hak cipta dalam membenteras pengedaran cetak rompak digital dalam medium internet.

Selain membantu mengurangkan kerugian dialami pemilik hak cipta semasa pelancaran filem baharu dalam bentuk digital, ia juga meningkatkan pemahaman serta peranan pemilik hak cipta dalam usaha membenteras cetak rompak digital.

Mengulas lanjut Alexander berkata, Program CyCORE itu boleh disertai berdasarkan kriteria seperti pemilik karya filem tempatan atau usahasama (tempatan dan luar negara sahaja) dan pertama kali dilancarkan di medium internet.

Jelasnya, pemilik hak cipta boleh menyertai Program CyCORE selepas filem dilancarkan di pawagam kerana program ini memfokuskan kepada filem yang baharu pertama kali ditayangkan dalam bentuk digital medium internet di laman web.

Tambah beliau, setiap program CyCORE dijalankan selama 14 hari secara berturut-turut dari bermulanya program ini dan tempoh masa pelaksanaan ditetapkan sendiri oleh pemilik hak cipta.

“Sekiranya pengadu masih menjumpai pautan yang menayangkan karya yang diadukan selepas tamat 14 hari pengadu masih boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk tindakan sekatan laman web tetapi masa yang diambil tidak sepantas program CyCORE,” ujarnya. – MalaysiaGazette