Mayat salah seorang perenang wanita ditemui dalam keadaan mukanya hancur teruk digigit kumpulan ikan pembunuh iaitu Piranha dalam kejadian pertama tahun baru 2022 di Paraguay.Foto Kredit CEN

LONDON – Musim panas di Paraguay mengakibatkan kumpulan ikan Piranha mula mengganas di sungai-sungai utama di negara berkenaan selepas polis menemui mayat empat perenang yang maut akibat digigit teruk oleh kumpulan ikan itu.

Penemuan mayat keempat-empat mangsa itu mencetuskan panik di seluruh Amerika Selatan.

Insiden ngeri itu dilaporkan berlaku di Paraguay yang mana orang ramai telah berkelah ke sungai-sungai untuk berehat pada jumlah yang besar semasa gelombang panas bagi menyejukkan badan mereka.

Kematian pertama dilaporkan berlaku pada Ahad lalu ketika seorang pemuda berusia 22 tahun sedang mandi dan berenang di Sungai Paraguay.

Alat penggerak amaran telah diaktifkan setelah perenang itu hilang tiba-tiba di sungai tersebut sebelum mayatnya ditemui 45 minit kemudian.

Polis terkejut apabila mayatnya ditemui dalam keadaan menyedihkan selepas beberapa bahagian dalam badan mangsa dicabut dan dimakan oleh Piranha.

Insiden kedua serangan kumpulan ikan Piranha berlaku di sungai sama apabila seorang lelaki berusia 49 tahun ditemui mati digigt teruk oleh ikan Piranha.

Lelaki itu dilaporkan hilang beberapa jam lebih awal sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan kesan gigitan teruk di mukanya.

Namun, lelaki itu dipercayai mati akibat serangan jantung sebelum diserang dan digigit ikan Piranha.

Sungai Paraguay adalah salah satu sungai terbesar negara berkenaan.

Manakala dua lagi mangsa maut akibat digigit kumpulan ikan Piranha ditemui di Sungai Tebicuary pada Ahad lepas.

Satu lagi insiden serangan ikan Piranha yang mengakibatkan kecederaan serius direkodkan di Sungai Parana di Kelab Memancing Bella Vista.

Serangan itu adalah susulan daripada insiden lain yang dilaporkan baru-baru ini termasuk mangsa seorang remaja perempuan dengan jari kakinya cedera digigit Piranha.

Media tempatan mendakwa serangan ikan Piranha berlaku lebih kerap semasa musim cuaca panas apabila ia mula membiak dan mendekati pantai ketika paras air rendah.

Selepas serangan terkini yang menyebabkan 20 orang cedera dan dua sekurang-kurangnya maut, ahli biologi Argentina, Julio Caply mendedahkan terdapat lapan jenis spesis Piranha di negara tersebut.

Namun serangan ke atas manusia hanya dilakukan oleh dua spesis sahaja iaitu Piranha jenis Serrasalmus marginatus dan Serrasalmus maculatus.

Malahan ikan pembunuh seperti Piranha kebanyakannya hanya terdapat di Sungai Parana dan Paraguay dan lebih cenderung bersembunyi di celah tumbuhan terapung atas sungai sebelum melancarkan serangan mengejut ke atas mangsanya yang turun ke sungai itu.

Berikutan insiden ngeri itu, para penduduk tempatan di negara itu diberi amaran supaya mengelak daripada turun dan mandi di sungai semasa musim pembiakan ikan Piranha khususnya di kawasan penuh dengan tumbuhan terapung yang merupakan habitat Piranha menjaga telurnya.

Dalam satu lagi kejadian, ibu jari seorang lelaki digigit Piranha dalam serangan di Sungai Parana manakala anaknya terkoyak tumit kaki. – Daily News.com

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast