Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap seorang penganggur atas kesalahan berkaitan pemilikan senjata api, dalam kejadian tembakan semasa cubaan merompak seorang ahli perniagaan wanita warga Singapura, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah, sebulat suara menolak rayuan Mohd Nazarudin Khairudin, 33, selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jun 2018, yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Hakim Hanipah berkata, pada hemat mahkamah, isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan ini adalah sama ada pertuduhan cacat atas dua perkara iaitu, berkaitan perkataan bersama-sama dengan seorang lain yang telah meninggal dunia dan penggunaan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Kami mendapati terdapat kecacatan pada pertuduhan tersebut, namun setelah meneliti rekod-rekod rayuan dan mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak, kecacatan dalam pertuduhan tidak memprejudiskan perayu, malah mengikut rekod rayuan pembelaan, perayu tahu dan faham pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan perayu, oleh itu sabitan serta hukuman (mati) yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Bapa kepada tiga anak itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersama-sama rakan sejenayahnya yang telah meninggal dunia, Azman Aini, 39, dengan mengetahui bahawa lelaki itu memiliki senjata api dan melepaskan tembakan terhadap Lee Siaw Khie Jane dengan niat menyebabkan kematian atau mencederakan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Middle, Kampung Baru Sungai Buloh, pada 3.40 petang, 22 April 2013, mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati.

Berdasarkan fakta kes, wanita itu yang berada dalam kereta Mercedes-Benz didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal sambil mengarahkannya keluar daripada kenderaan tersebut.

Azman yang menunggang motosikal mengacukan sepucuk pistol ke arah wanita itu manakala perayu selaku pembonceng turun daripada motosikal tersebut, sambil cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Mangsa kemudian bertindak menekan pedal minyak dan meninggalkan kedua-dua lelaki itu, menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah kereta dan terkena bahagian cermin pintu bahagian pemandu dan mangsa terus dikejar oleh motosikal tersebut sehingga tiba di balai polis.

Pada 19 Ogos 2013, perayu ditangkap di rumah ibu mertuanya dan pihak polis merampas sepucuk pistol jenis Walter P99 AS yang terselit dipinggangnya serta satu magazin berisi lima butir peluru, selepas Azman ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian tembak menembak di kawasan perkuburan di Paya Jaras.

Hasil ujian balistik dan analisis terhadap pistol berkenaan menunjukkan peluru yang dijumpai dalam kereta mangsa adalah sepadan dengan peluru yang dilepaskan semasa cubaan merompak wanita itu.

Mohd Nazarudin diwakili peguam Azamuddin Abd Aziz manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan Mohd Zain Ibrahim bertindak bagi pihak pendakwaan. – Bernama