65 penuntut UKM ditauliahkan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis pada Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS bagi tahun 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 65 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditauliahkan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis pada Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS bagi tahun 2021.

Majlis tersebut menyaksikan 33 pelatih lelaki dan 32 pelatih perempuan menerima watikah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Mazli Mazlan.

Menurutnya, pelatih Kor SUKSIS perlu menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhannya dengan modul yang ditetapkan antaranya, latihan kawad, latihan senjata, kursus asas pasukan gerakan am dan program khidmat masyarakat.

”Pelatih Kor SUKSIS diyakini mampu untuk menjadi seorang graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi, membentuk sahsiah cemerlang ke arah menjadi pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan,” katanya.

Mazli juga menggalakkan pelatih supaya memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

”Saya amat berharap pelatih Kor SUKSIS UKM dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan menjadikan kerjaya kepolisan sebagai pilihan utama.

”Pelatih boleh memohon untuk menjawat jawatan sebagai seorang pegawai polis berpandukan kepada tawaran pengambilan yang dikeluarkan dari masa ke semasa untuk berkhidmat sebagai seorang pegawai polis.

”Pengalaman menjalani latihan selama tiga tahun di dalam Kor SUKSIS akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temuduga yang dijalankan,” tambahnya.

Naib Canselor UKM Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut berbangga kerana UKM mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah turut diterapkan dengan ilmu kepolisan melalui Kor SUKSIS.

”Saya yakin dan percaya penerapan nilai ilmu dalam bidang kepolisan ini juga akan melatih dan mendidik mahasiswa untuk menjadi lebih berdisiplin.

Sejak penubuhan Kor SUKSIS UKM pada 30 Mei 2005, seramai 754 orang pelatih telah berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarela. – MalaysiaGazette

awan Simpanan Polis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast