Prof. Edmund Terence Gomez

KUALA LUMPUR – Prof. Edmund Terence Gomez meminta supaya ahli-ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengesahkan benarkah mereka ada mengadakan pertemuan pada 24 November lalu untuk membincangkan tuduhan terhadap Tan Sri Azam Baki, seperti didakwa oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang.

“Jika mesyuarat diadakan pada 24 November, kenapa saya tidak dimaklumkan mengenainya ketika membincangkan isu itu bersama beberapa ahli LPPR pada Disember?

”Kenapa saya tidak dimaklumkan nama Azam telah dibersihkan oleh ahli lembaga pada mesyuarat itu?,” katanya pakar ekonomi itu dalam kenyataan hari ini.

Gomez turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli LPPR tidak mendesak siasatan bebas diadakan berhubung pemilikan saham oleh Azam.

Beliau yang meletak jawatan bulan lalu kerana tidak puas hati kegagalan LPPR mengambil tindakan terhadap Azam berkata, kenyataan media keenam-enam ahli LPPR terhadap Abu Zahar tidak mencukupi.

Menuurtnya, ahli-ahli lembaga mengesahkan mereka tiada kuasa untuk membersihkan nama Azam daripada dakwaan.

”Jika mereka berkata demikian, bagaimana mereka boleh membersihkan nama Azam dalam perjumpaan 24 November?,” tanya beliau lagi yang mengulas kenyataan media enam ahli LPPR yang memaklumkan kenyataan Abu Zahar terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bersifat peribadi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh enam Ahli Lembaga Pengarah LPPR iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar bin Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Menerusi kenyataan bersama itu, Abu Zahar dikatakan tidak menyatakan seperti mana hasil dalam perbincangaan yang dibuat sebelum itu.

Kenyataan itu menyebut, sebelum sidang media berlangsung, ahli lembaga pengarah telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa seperti jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Panel Aduan SPRM.

Bagaimanapun, mereka berkata cadangan dan pandangan mereka itu tidak dibangkitkan Abu Zahar dalam sidang media baru-baru ini. – MalaysiaGazette

Kes Azam: Enam ahli Lembaga LPPR dakwa kenyataan Abu Zahar bersifat peribadi