Home Nasional Lelaki dipukul gara-gara rakam tapak niaga tak ikut spesifikasi DBKL

Lelaki dipukul gara-gara rakam tapak niaga tak ikut spesifikasi DBKL

KUALA LUMPUR – Gara-gara berang dengan tindakan seorang lelaki yang merakam gambar tapak niaga miliknya, sepasang suami isteri memukul  mangsa dalam kejadian di Pasar Pagi OUG Jalan Hujan Rahmat, Taman OUG semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku pukul 10.45 pagi dan insiden itu telah dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun mendakwa telah dicederakan oleh pasangan suami isteri terbabit.

“Kejadian berlaku apabila mangsa mengambil gambar tapak niaga milik suspek sebagai bukti berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Suspek seorang lelaki berumur 53 tahun ini dikatakan telah mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh DBKL.

Pasangan suami isteri menyerang seorang lelaki berbaju putih kerana marah merakam gerainya yang tidak mengikut spesifikasi DBKL di tapak niaga Taman OUG dalam kejadian pagi semalam tular di media sosial.Ihsan IPD Brickfields

“Oleh kerana suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengambil gambar, suspek bertindak agresif menyerang dan menendang mangsa di bahagian belakang badan serta menghalaunya dari tempat niaga itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Amihizam, mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas insiden pergaduhan itu.

Menurutnya, bertindak atas maklimat pengadu, lelaki yang bertindak menyerang mangsa telah ditahan polis.

“Dalam pada itu, seorang lagi suspek lain iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang merupakan isteri suspek yang juga berada di lokasi serangan turut ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki bersubahat melakukan serangan.

“Siasatan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek dalam kes ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki sekadar diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan sementara kertas siasatan lengkap akan dirujuk segera kepada Pendakwa Raya untuk menuduh suspek terbabit di mahkamah pada minggu depan.

Bagaimanapun  wanita itu juga dikesan berkemungkinan terlibat dalam kes ini juga akan dipanggil untuk memberi keterangan setelah mendapat perintah untuk menyiasat daripada pihak Pendakwa Raya kelak.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana orang.

“Spekulasi berkaitan video ini hendaklah dihentikan sehingga penyiasatan pihak polis selesai dijalankan,” katanya.

Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast