Graduan, Azim Farhan Ngadimin gembira dan juga sedih selepas berjaya menerima Diploma Perniagaan Tani berikutan arwah bapanya yang meninggal dunia sewaktu peperiksaan akhir pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 di UPM, Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

SERDANG – Azim Farhan Ngadimin, graduan Diploma Perniagaan Tani kehilangan bapa semasa berada di semester pertama di Kampus Bintulu, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Azim berkata, beliau mendapat perkhabaran mengenai bapanya mendapat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke dewan kuliah untuk menduduki peperiksaan akhir semester.

Walaupun menerima khabar yang mencemaskan, sebagai pelajar beliau meneruskan tanggungjawabnya dan bergegas pulang ke semenanjung hanya selepas selesai peperiksaan.

Peperiksaan akhir yang masih berbaki diteruskan di Kampus Induk UPM di Serdang.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, setibanya di Hospital Serdang beliau mendapati bapanya telah pun koma.

“Dia koma selama 17 hari dan meninggal dunia pada 23 Oktober 2017.

“Saya sempat menjaga beliau sewaktu beliau koma namun saya tak sempat menatap mata dan berbual dengannya,” ujar pemuda berusia 23 tahun itu.

Namun episod sedih tidak berakhir di situ apabila mengetahui ibunya menghidap anxiety (kebimbangan melampau).

Berikutan kejadian yang menimpanya, Azim kurang bersemangat dan prestasi akademik pada semester kedua kurang memberangsang.

Namun beliau bangkit pada semester seterusnya dan kini beliau sedang berada di semester ketiga Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu di UPM.

“Hidup perlu diteruskan, jadi saya terus bangkit kerana ini merupakan impian dan cita-cita arwah ayah untuk saya menamatkan pengajian di UPM yang merupakan tempat arwah bekerja,” ujarnya yang mana abang dan kakaknya juga adalah graduan dari UPM.

Beliau yang dalam keadaan gembira berbaur sedih naik ke pentas pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 hari ini. – MalaysiaGazette