Punca penularan kes-kes dari kluster ini adalah disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi SOP.

KUALA LUMPUR – Terdapat sebanyak 16 kluster melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dalam tempoh 48 hari dari 25 November lalu hingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada 16 kluster itu, tujuh kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron, enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron yang sedang menunggu keputusan Whole Genome Sequencing (WGS) dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Katanya, empat kluster melibatkan kes dari Pahang, masing-masing tiga kes dari Kelantan dan Kedah, dua dari Johor dan masing-masing satu dari Sabah, Labuan, Pahang dan Johor, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin Pahang adalah kluster dengan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 36 kes.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga dengan kes dalam kluster ini adalah ahli keluarga dari Pahang dan Johor iaitu kadar positiviti sebanyak 81.8 peratus.

“Terdapat dua lagi kluster melibatkan jemaah umrah dalam daerah yang sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi.

“Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi melibatkan sembilan kes yang terdiri daripada satu kes indeks presumptive Omicron yang merupakan kes jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga. Kadar positiviti adalah sebanyak 75 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata, bagi Kluster Keratong 2 Saudi pula melibatkan 11 kes, di mana dua kes merupakan jangkitan import dan sembilan kes adalah kontak keluarga dengan kadar positiviti kluster sebanyak 78.6 peratus.

Bagaimanapun, kes indeks dari Kluster Keratong 2 Saudi itu bukan kes varian Omicron.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang bermula 6 hingga 19 Januari ini untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti.

“Bagi Kelantan, Kluster Chiku 01 Saudi melibatkan 19 kes, di mana tiga kes indeks disahkan varian Omicron dengan enam kes jangkitan import, manakala 13 kes adalah kontak keluarga. Kadar positiviti kluster ini adalah sebanyak 76.0 peratus.

“Kluster Kampung Tok Panjang Saudi pula melibatkan 13 kes jangkitan import dan tiga kes kontak keluarga. Kes indeks untuk kluster ini adalah kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 88.9 peratus,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, bagi Kluster Jalan 2 Saudi pula melibatkan enam kes, di mana satu kes merupakan jangkitan import dan lima kes kontak keluarga dengan kes indeks bukan varian Omicron serta kadar positiviti kluster sebanyak 66.7 peratus.

Selain itu, Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi dari Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan seramai 19 orang dengan 11 kes merupakan jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga. Kes indeks merupakan kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 12.8 peratus.

Di Sabah pula, Kluster Millenium Saudi melibatkan 18 kes iaitu 13 kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga. Kes indeks adalah kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 30.5 peratus.

Menurut beliau, seramai 456 individu telah disaring dalam kluster jemaah umrah itu, di mana terdapat 219 kes positif telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positiviti sebanyak 48 peratus.

“Daripada 219 kes itu, semua kes merupakan kategori 1 dan 2 dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat.

“Punca penularan kes-kes dari kluster ini adalah disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi SOP di mana pada masa tersebut tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Selain itu, kata beliau, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

“Oleh itu, buat masa ini kerajaan telah menangguhkan sementara pelaksanaan ibadah umrah oleh rakyat Malaysia untuk memperkemaskan SOP dan memantau kes-kes di seluruh dunia, di Arab Saudi dan di Malaysia agar penularan Covid-19 khasnya varian Omicron dapat diperlahankan bagi memastikan kapasiti fasiliti kesihatan tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette