Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merakam video seorang remaja perempuan yang sedang membuang air di tandas di sebuah pusat membeli belah di Bandar Utama, Damansara, di sini, semalam dengan menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ibu mangsa yang dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak perempuannya berusia 14 tahun bahawa dia ternampak telefon bimbit diletakkan di tingkap antara tandas lelaki dan tandas perempuan ketika membuang air.

Katanya, mangsa kemudian telah bertanya kepada suspek sama ada lelaki itu telah merakam semasa dia berada di dalam tandas, namun suspek cuba melarikan diri.

“Pengadu bersama anak perempuannya telah mengejar suspek sebelum suspek telah menolak mangsa sehingga terjatuh di lantai, tetapi berjaya mengambil telefon bimbit milik suspek sebelum membaling ia kepada emaknya.

“Pengawal keselamatan yang menyedari insiden itu bergegas ke lokasi sebelum berjaya menahan lelaki tersebut daripada meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, mangsa bersama ibunya telah membuka fail video dalam telefon bimbit suspek dan mendapati suspek telah merakam mangsa semasa berada dalam tandas wanita.

Tambah beliau, sejurus selepas itu mangsa meminta pengawal keselamatan untuk menghubungi polis sebelum ibu mangsa membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat jam lebih kurang 7.15 malam, pengadu dan anak perempuannya bersama team polis rondaan cegah jenayah bermotosikal (URB) menghala ke lokasi level G, kawasan parkir bertingkat Centre Point Bandar Utama.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pengawal keselamatan di lokasi telah menyerahkan suspek tempatan yang disyaki telah masuk ke tandas wanita premis tersebut dalam keadaan baju terkoyak kepada polis yang kemudian ditahan polis dan dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut.

“Siasatan polis mendapati suspek adalah seorang pakar teknologi (IT) maklumat berusia 33 tahun dan polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit jenama jenis Samsung Galaxy M20 berwarna biru,” ujarnya.

Beliau berkata, daripada soal siasat suspek mengaku merakam mangsa membuang air dengan menggunakan telefon bimbitnya.

Tambah beliau, suspek telah direman selama sehari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette