Seorang petugas kesihatan memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di ICU Hospital Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes baharu jangkitan positif Covid-19 hari ini menunjukkan peningkatan lebih 400 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dicatatkan hari ini ialah 3,684 iaitu meningkatkes 486 berbanding semalam sebanyak 3,198 kes.

“Pada 13 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 3,684 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,798,917 kes,” katanya dalam kenyataan harian KKM.

Daripada jumlah itu, 3,363 kes adalah penularan tempatan yang melibatkan 3,274 warganegara dan 89 bukan warganegara.

“Kes import adalah 321 kes dimana 233 daripadanya adalah warganegara dan 88 bukan warganegara,” jelas Noor Hisham.

Kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 pula direkodkan pada jumlah 3,292 menjadikan jumlah kumulatifnya adalah 2,726,891 kes.

Sejumlah 192 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 91 kes lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam pada itu, terdapat lapan kluster baharu yang dikesan KKM hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,192 kluster.

Sejumlah 6,014 kluster telah ditamatkan dan 178 masih aktif.

Jelas Noor Hisham lagi, daripada 3,684 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 34 kes adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,650 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sementara itu, tiada kes positif Covid-19 dikesan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di tiga buah negeri yang dilanda banjir.

Setakat hari ini, sejumlah 15 kes keseluruhan positif Covid-19 di PPS dikesan dan 470 kes dikesan di kalangan mangsa-mangsa banjir. – MalaysiaGazette