Anbu Manikam Bidor murder case oil palm estate
Polis buru Anbu Manikam.

IPOH – Polis Perak kini memburu seorang lelaki bagi membantu kes culik serta bunuh pekerja memotong kelapa sawit di Bidor baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek dikenali sebagai Anbu Manikam diburu bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ini mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Seorang suspek berusia 30 tahun yang terlibat sama dalam kes ini sudah ditahan dan pihak polis kini sedang giat menjalankan operasi mengesan Anbu.

“Orang ramai yang mengenali serta mempunyai maklumat berhubung suspek diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017 316 8097 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki hilang hampir empat bulan ditemui mati dibunuh

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kehilangan seorang lelaki hampir empat bulan selepas dilarikan dua lelaki terjawab selepas mayatnya ditemui dalam kebun sawit di Bidor pada Selasa lalu.

Mangsa bunuh itu ditemui polis selepas menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada hari yang sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung mangsa berusia 29 tahun itu dilarikan dua suspek pada 3 Oktober tahun lalu.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemotong buah sawit itu dilarikan pada 13 September 2021 ketika dia berada bersama pengadu di kolam ikan Kampung Poh, Bidor. – MalaysiaGazette