Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menyerahkan replika cek kepada wakil penduduk Serdang, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Puchong Selangor di Balai Rukun Tetangga Taman Seri Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

SERDANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) mensasarkan jumlah bantuan sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda Selangor pada bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, dua lokasi lagi yang mendapat perhatian YBR untuk bantuan itu adalah di kawasan Hulu Langat dan Shah Alam serta Klang.

“Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat bencana yang di luar jangkaan ini.

“YBR berharap dengan bantuan yang diberikan dapat membantu mereka yang terkesan dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada 53 keluarga mangsa banjir di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Puchong Selangor di Balai Rukun Tetangga Taman Seri Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

Pada majlis itu, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM10,600 kepada keluarga tersebut yang terjejas akibat banjir di sekitar Serdang pada 17 Disember lalu.

Turut hadir bagi penyerahan itu adalah wakil penduduk Serdang, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti melalui Kelab Rekreasi Wanita Muda Puchong.

Beliau memberitahu, inisiatif itu merupakan usaha YBR untuk membantu mereka yang memerlukan dan akan mengusahakan lebih banyak bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan di kawasan yang terjejas.

“Ditambah situasi wabak Covid-19 yang masih belum pulih bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantu menghadapi saat-saat sukar untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana,” katanya.

Pada tahun ini, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette