Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.

JOHOR BAHRU – Suspek yang melarikan diri ketikan dalam tahanan polis, Abdul Hamim Ab. Hamid atau dikenali Long Tiger akan didakwa di Mahkamah Tangkak pada Rabu ini.

Perkara itu disahkan sendiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun itu akan dituduh selepas tempoh tahanan reman berakhir 18 Januari ini.

“Benar dia (Long Tiger) akan dituduh 19 Januari ini di Mahkamah Tangkak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Media terdahulu melaporkan, Long Tiger ditahan reman selama 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pada 28 Disember lalu, Long Tiger yang dikehendaki polis berjaya  ditangkap ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah oleh polis Bukit Aman.

Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember tahun lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Selain itu, tertuduh mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast