Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah membangunkan sebuah portal bagi menyalurkan semua maklumat berkaitan bantuan untuk mangsa-mangsa banjir.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.4 bilion untuk disalurkan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Setiap kali kami turun membantu mangsa banjir, mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang telah diberikan selama ini.

“Jadi, dengan adanya portal ini akan memudahkan mangsa-mangsa banjir melihat apakah jenis bantuan yang disediakan untuk mereka seperti bantuan wang ihsan, baucar membaiki kenderaan, pembelian barang rumah dan lain-lain lagi.

“Semuanya ada di dalam portal ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Dalam video berdurasi 1.53 saat itu uga, Tengku Zafrul turut mengulangi bantuan yang boleh diterima adalah sebanyak RM61,000.

“Semua boleh layari portal ini untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Mangsa banjir boleh melayari www.banjir.com untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette