Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan perbicaraan mengenai isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbicaraan itu sepatutnya dibuka kepada kepada umum kerana perkara itu melibatkan kepentingan awam.

“Isu ini wajar diberikan perhatian dan ini suatu tuduhan terhadap Azam dan sepatutnya dia diberikan ruang dan penjelasan dan tidak ada sebab mengapa perkara ini disulitkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Langkawi, Kedah hari ini.

Jelas Anwar, langkah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang melarang pendedahan mengenai pertuduhan terhadap Azam kepada media juga disifatkan tindakan tidak wajar.

Justeru itu, Azhar tidak sepatutnya diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar mengenai pertuduhan tersebut.

“Saya di Langkawi, orang di Langkawi pun tahu kes ni. Jadi macam mana dia nak jadikan isu ini tertutup? Jadi saya akan bincang dengan Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) untuk mengambil tindakan,” katanya.

Awal hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), Abdul Latiff Rahman dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyiasat Azam yang dijadualkan Rabu ini telah ditangguhkan susulan bantahannya terhadap cara siasatan itu.

Ia ekoran kenyataan Abdul Latiff yang memaklumkan kepada lapan anggota jawatankuasa lain yang beliau telah menerima maklum balas daripada Azam. – MalaysiaGazette