khairuddin mengundi muda songsang musuh Allah
Mohd Khairuddin Aman Razali

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Datuk Mohd Khairuddin Razali sebagai ahli jawatankuasa (AJK) parti telah digugurkan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkara itu amalan biasa dalam parti namun bagi ramai pihak, ia nampak luar biasa.

Luar biasa kerana bekas menteri dan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan tanpa ada sebarang sebab yang diumumkan secara terbuka.

Abdul Hadi hanya menjelaskan perkara itu berlaku kerana pucuk pimpinan mempunyai alasan termasuk kerana seseorang ahli itu tidak mematuhi disiplin parti.

Ramai beranggapan apa yang berlaku kepada Mohd. Khairuddin itu ada kena mengena dengan pendiriannya berkaitan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Malah beliau mencabar Mohd Khairuddin atau mana-mana pihak menyatakan isu MN dan PN menjadi faktor pemecatan itu berlaku.

“Kalau dia berani, dia (Mohd. Khairuddin) buat kenyataanlah, ‘Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan,” katanya kepada media baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli menegaskan pemecatan berlaku disebabkan kerana masalah pentadbiran dan pengurusan parti.

Kemudiannya AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga meminta penjelasan kepada umum mengenai pemecatan Mohd Khairuddin dan bukan dalam kalangan pimpinan parti sahaja.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti Pas. Bukan bocor atau viral sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, menurut Nik Abduh, masalah disiplin mungkin menjadi faktor pengguguran Mohd. Khairuddin selepas Takiyuddin menolak alasan pengguguran itu disebabkan perselisihan antara MN dan PN.

Mohd Khairuddin sebelum ini dilihat antara pimpinan pelapis Pas lebih-lebih lagi apabila dilantik menjadi menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Setiausaha Dewan Ulama Pas dan dilantik AJK Pas Pusat walaupun tewas dalam pemilihan parti.

Namun Mohd. Khairuddin tidak terlepas daripada kontroversi seperti isu dakwaan tidak kuarantin selepas balik dari luar negara dan didakwa bersama selebriti ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Namun kesemuanya sekadar dakwaan namun sudah pasti ia memberi persepsi negatif.

Paling kontroversi, penyebaran audio yang didakwa suaranya yang seakan-akan mengkritik kepimpinan parti yang tersebar di media sosial.

Lantas Mohd Khairuddin dicap cuba menimbulkan penentangan terhadap pucuk pimpinan partinya.

Apa pun pucuk pimpinan Pas sudah pasti ada sebab konkrit berbuat demikian walaupun terhadap tokoh berkaliber dalam partinya sendiri.

Bagaimanapun ramai orang termasuk ahli-ahli Pas masih tertanya-tanya apa punca pemecatan Mohd. Khairuddin.- MalaysiaGazette