Yonnyboii kini muncul dengan single terbaharu berjudul Niki.

KUALA LUMPUR – Selepas menggegarkan dunia muzik tempatan dengan pelbagai lagu hit, salah seorang bintang hip hop Malaysia, Yonnyboii kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul Niki.

Yonnyboii yang baru sahaja tersenarai sebagai salah seorang peserta akhir Anugerah Juara Lagu lewat lagunya, Salahku mengatakan Niki sebenarnya adalah tentang pasangan hidupnya.

“Lagu ini sebenarnya tentang cinta saya kepada isteri saya iaitu Nina. Saya tulis lagu ini beberapa hari sebelum kami bertunang, sambil membayangkan betapa indahnya hari perkahwinan kami nanti sewaktu duduk di atas pelamin

“Saat saya menulis lagu ini, saya seperti tidak percaya yang kami bakal bertunang dan hari perkahwinan kami semakin dekat. Saya telah pun merancang supaya lagu itu dimainkan di majlis resepsi. Dan kini saya ingin kongsikannya dengan seluruh dunia,” tambahnya.

Dicipta dan ditulis oleh Yonnyboii sendiri, Niki berelemenkan lagu romantik itu disusun oleh SeaTravel dan diterbitkan oleh SLACK bersama Yonnyboii sendiri.

Yonnyboii yang baru sahaja melangsungkan perkawinannya tidak lama sebelum ini menyatakan Niki menceritakan kisah cinta peribadinya.

Ia mengisahkan bagaimana dia jatuh cinta begitu dalam dengan seseorang, sehingga ia memberikan dirinya keyakinan baharu, membuat dirinya benar-benar rasa disayangi serta dihargai.

Lagu itu juga dihadirkan bersama sebuah video muzik yang agak luar biasa.

Lagu Niki dicipta dan ditulis oleh Yonnyboii sendiri.

“Konsep video ini agak berlainan dan temanya ada membabitkan beberapa unsur saintifik. Walaupun saya berperanan sebagai bintang utama, nantikan kemunculan seorang bintang tamu istimewa dalam video itu nanti,” tambahnya lagi.

“Saya berterima kasih kepada isteri saya Nina kerana menemani saya sepanjang penggambaran. Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah video Thaqif Saadon kerana membantu saya sewaktu rakaman,” katanya.

Yonnyboii juga berharap para peminat serta pencinta muzik akan dapat menghargai seni yang dipaparkan selain rakaman yang dipersembahkan di dalam video muzik serta lagu tersebut.

Niki bakal dilancarkan secara digital di semua platform esok di mana video liriknya pula akan ditayangkan pada hari yang sama pukul 9 malam manakala video muzik rasmi boleh ditonton pada 28 Januari 2022 pukul 9 malam di saluran YouTube Yonnyboii VEVO. – MalaysiaGazette

Foto Instagram Yonnyboii.