Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap kepada media selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih skuad Hong Kong, Kim Pan Gon dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya baharu.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Menurutnya, pelantikan Pan Gon adalah bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang mengosongkan jawatan itu pada awal bulan lalu.

Pelantikan jurulatih berusia 53 tahun dari Korea itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Menurut Hamidin, Pan Gon akan datang ke Malaysia pada pertengahan Februari depan selepas menjalani segala ujian saringan berkaitan Covid-19.

“Beliau akan melihat Liga Super dan Liga Premier yang akan diadakan nanti,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Hamidin, Pan Gon memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan di mana bekas pemain Ulsan Hyundai di Liga Korea Selatan itu pernah melatih skuad kebangsaan Hong Kong sebelum ini.

Katanya, Pan Gon akan diberikan kontrak selama dua tahun untuk mengendali skuad negara dan sekiranya khidmat cemerlang kontrak tersebut akan disambung dua tahun lagi.

Sebelum ini, teka-teki timbul mengenai siapa pengendali baharu skuad Harimau Malaya selepas Cheng Hoe meletak jawatan.

Sejak Cheng Hoe melepaskan jawatannya pada awal bulan ini timbul pelbagai spekulasi mengenai calon yang bakal membimbing skuad Harimau Malaya.

Beberapa calon dari dua buah negara gergasi Asia – Korea Selatan dan Jepun dilaporkan menjadi pilihan FAM kerana mahu menerapkan elemen disiplin yang tinggi dalam skuad kebangsaan.

Antara nama yang berada dalam senarai ialah Kim Pan-goh yang ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Penyeliaan Skuad Kebangsaan Korea Selatan.

Nama bekas ketua jurulatih skuad B-23 tahun Korea Selatan, Kim Hak-bum turut dikatakan berada dalam senarai FAM selain Park Jin-seop dan Kim Byung-soo.

Jin-seop adalah bekas pemain skuad kebangsaan Korea Selatan dan pernah mengendalikan beberapa kelab dalam saingan K League, antaranya Gwangju FC, FC Seoul dan pasukan simpanan, Jeonbuk Hyundai Motors.

Byung-soo pula merupakan bekas pemain Taegeuk Warriors dan pernah mengendalikan beberapa kelab tempatan seperti Yeungnam University, Seoul E-Land dan Gangwon FC. – MalaysiaGazette