Hassan Sazali Waras.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras optimis akan ada pelapis mengikut jejak langkah Azhad Harraz Arman melebarkan sayap ke pentas Liga Super selepas menampilkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan, musim lalu.

Ketiadaan penyerang berusia 19 tahun itu dalam Skuad Projek FAM-MSN pada musim ini pastinya akan memberi sedikit kepincangan kepada pasukan, namun Hassan yang merupakan pengendali baharu percaya kehadiran beberapa muka baharu dapat memberi kelebihan yang berbeza.

Melihat peningkatan yang telah dilakukan Azhad selepas menyumbang lapan gol kepada pasukan pada musim lalu, Hassan mahu pemain muda lain turut memberikan aksi yang cemerlang selain enggan terus dilabel skuad yang menjadi lubuk gol kepada lawan pada musim ini.

“Saya sudah mengenal pasti 26 pemain yang telah didaftarkan untuk pasukan ini dalam saingan Liga Premier dan kita juga sudah seminggu melakukan program pra-musim bersama pemain-pemain ini.

“Tetapi, selepas kehilangan Azhad, saya tidak mahu letakkan harapan kepada seseorang individu sahaja untuk mengikut jejak langkah dia tetapi saya nak semua yang diturunkan percaya mereka juga mampu melangkah lebih jauh.

“Memang objektif sebenar saya adalah akan ada pemain yang boleh melebarkan sayap seperti yang dilakukan oleh Azhad sama ada ke peringkat kebangsaan atau pun pasukan Liga Super.

“Insya-Allah saya akan memberikan tunjuk ajar terbaik bagi membimbing mereka untuk mendapat pengalaman yang diinginkan pada musim ini”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Skuad Projek FAM-MSN ini dijangka berdepan sekurang-kurangnya lapan perlawanan persahabatan bermula 25 Januari ini sebagai persediaan pra-musim di mana ia akan menjadi penilaian yang lebih mendalam untuk bekas pengendali Harimau Muda C ini mengenalpasti tahap keserasian barisan muka baharu.

“Akan ada beberapa ujian saya ingin lakukan kepada pemain-pemain ini untuk kita membina semangat kerjasama antara mereka semua dan 25 Januari ini kita akan menentang skuad Piala Presiden Perak terlebih dahulu dalam aksi persahabatan.

“Insya-Allah saya mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan mereka semua dalam tempoh tujuh hingga lapan minggu sebelum sepak mula.

“Dan kita akan mula mengenalpasti kelemahan sedia ada dalam pasukan ini untuk kita cuba beri tentangan sengit kepada lawan nanti”, tambahnya.

Terdahulu, Hassan dilantik selaku pengendali baharu Skuad Projek FAM-MSN pada musim ini bagi menggantikan Yusri Che Lah yang telah mengemudi pasukan ini pada musim lalu menyaksikan mereka menduduki kedudukan tercorot Liga Premier 2021. – MalaysiaGazette