Moussa Sidebe.

KUALA LUMPUR – Pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe diumumkan sebagai pemain import terbaru JDT sekali gus melengkapkan senarai pemain import kelab dari selatan tanah air musim ini.

Pemain sayap berusia 27 tahun itu dumumkan ketika JDT sedang berada di Dubai untuk latihan pra musim.

Sidibe juga disahkan telah pun melaporkan diri bersama juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali beturut-turut itu.

Selain Sidibe, tiga lagi pemain import baharu menyertai JDT untuk saingan musim 2022 adalah Fernando Forestiieri, Bienvenido Maranon, dan Carli de Murga.

Empat pemain import daripada musim lalu iaitu Mauricio dos Santos, Shane Lowry, Leandro Velasquez, dan Bergson da Silva telah dikekalkan selepas JDT turut melepaskan Gonzalo Cabrera dan Syahrian Abimanyu baru-baru ini.

Walaupun dilahirkan di Bamako, Mali, Sidebe yang turut beraksi sebagai pemain sayap kanan seperti Mohamadou Sumareh telah berhijrah ke Sepanyol sejak usia 12 tahun.

Karier profesional Sidebe bermula bersama kelab bawahan Liga Sepanyol, SD Almazan.

Kelab terakhir yang diwakilinya pula adalah Costa Brava secara pinjaman daripada Ponferradina.

Sidebe dipercayai menamatkan kontrak dan tempoh pinjaman tersebut untuk menyertai JDT menjelang musim baharu Liga Malaysia.

Kehadiran tiga pemain import itu bersama JDT bermakna skuad Harimau Selatan dilihat serius bertanding di dalam empat pertandingan termasuk, AFC Champions League pada musim 2022.

Pertandingan elit kelab bola sepak Asia itu membenarkan setiap pasukan bertanding mendaftarkan pemain import tanpa sebarang had pada musim ini namun hanya boleh mendaftarkan empat pemain import maksimum di dalam skuad pada hari perlawanan.

Selain AFC Champions League, JDT turut akan beraksi di dalam pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selepas dua musim pertandingan tersebut tidak diadakan.

JDT kini berada di Dubai dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Spartak Moscow, Rodina Moscow, MSK Zilina dan Riga FC. – MalaysiaGazette