Kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan pencen dan faedah yang sepatutnya diterima sejak 2015 menyebabkan seramai 35 pesara hakim bertindak mengemukakan saman termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan dan bekas Hakim Besar Malaya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan pencen dan faedah yang sepatutnya diterima sejak 2015 menyebabkan seramai 35 pesara hakim bertindak mengemukakan saman termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan dan bekas Hakim Besar Malaya.

Antara mereka termasuklah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Norma Yaakob; bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos dan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Tuntutan juga melibatkan tujuh orang balu serta tanggungan mereka, antaranya balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.

Saman pemula tersebut telah difailkan minggu lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma-firma guaman, Tetuan Chooi & Company + Tetuan Cheang & Ariff dengan menamakan kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dalam penyataan yang difailkan itu, kata mereka, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim-hakim bersara dan orang tanggungan hakim-hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim-hakim yang masih berkhidmat.

Ia juga perlu disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Malah kata mereka, cara pengiraan pelarasan tersebut telah dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta tersebut namun jadual itu telah dipadamkan daripada daripada akta berkenaan.

Ia juga telah menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim-hakim yang sedang berkhidmat telah dinaikkan berkuatkuasa dari 1 Julai 2015.

“Di bawah peruntukan seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

“Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim-hakim yang masih bekerja,” kata penyataan yang difailkan itu. – MalaysiaGazette