Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti dan meningkatkan hukuman penjara ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Transmile Gan Boon Aun daripada sehari kepada 24 bulan.

Mahkamah Tinggi semalam juga mengekalkan denda awal RM2.5 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos 2020.

Gan disabitkan bersalah kerana memberikan kenyataan yang mengelirukan, dengan niat untuk menipu, berkaitan hasil Transmile Group Berhad dalam Laporan Suku Tahunan Syarikat mengenai Keputusan Disatukan Tidak Diaudit bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2006.

Kenyataan mengelirukan mengenai jumlah hasil terdiri daripada lebih RM333 juta jualan rekaan.

Sabitan ke atas Gan dilakukan di bawah Seksyen 122B dibaca bersama Seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menilai, daripada usaha yang dilakukan oleh SC untuk melaksanakan waran tangkap terhadap Gan, beliau telah mengelak daripada ditangkap, sekali gus gagal menghadiri perbicaraan rayuan.

Gan kekal bebas dan SC meminta orang ramai yang mungkin mengetahui keberadaannya untuk tampil membantu SC mengesan Gan. – MalaysiaGazette