KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO yang masih mahu parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta menghentikan usaha itu.
Manakala pemimpin Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang menyeru UMNO menerima Bersatu juga sudah patut henti memujuk.
Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO sedar niat dan hasrat Bersatu untuk menamatkan parti itu buat selama-lamanya sejak rakaman audio scheme of things terbongkar.
Rakaman membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan rancangan Bersatu untuk menyogok pemimpin UMNO dengan jawatan kerajaan dan GLC.
”Jadi dengan pengakuan umum parti Bersatu semalam, saya harap pemimpin-pemimpin UMNO yang masih inginkan kita bekerjasama dengan Bersatu hentikan usaha mereka.
”Kawan-kawan dalam MN yang masih seru kita untuk menerima Bersatu pun patut henti pujuk. Kami tetap kawan tapi jangan pujuk lagi,” kata bekas Presiden UMNO itu.
Najib tidak faham kenapa UMNO perlu bekerjasama dengan pihak lain bagi memudahkan niat jahat dan hasrat Bersatu untuk menamatkan UMNO.
”Itu gilar,” katanya yang mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yang memaklumkan Muhyiddin tidak berhasrat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir pada PRN Johor.
Dalam kenyataan itu, Solihan berkata: “Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.” – MalaysiaGazette