Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Desas desus mengatakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai UMNO.

Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu ditanya kepada empunya tuan kerana mereka mempunyai jawapan atas tindakan dan keputusan masing-masing.

“Memang media ada menyebut beberapa ADUN parti bunga (Bersatu) di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO.

“Kesahihan berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan, namun jikalah benar ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.

“Kerana parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO, sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, apa rasional dan kewajarannya untuk rakyat diminta supaya meyakini parti tersebut, sedangkan sebahagian pimpinan akar umbinya tidak?

Namun, kata beliau, itulah perbezaan ketara antara sesuatu yang tulen dan tiruan, autentik dan rekaan kerana pastinya yang original adalah berkualiti berbanding ciplak.

Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu, asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti itu kerana perjuangannya adalah asli, bukan retorik atau agitasi politik semata-mata.

Begitu juga, katanya, UMNO bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.

“Kesimpulannya, UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur, mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya.

“Parti politik yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak “real” dan palsu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast