Tinjauan dan pemantauan anggota Trafik Kontinjen Pahang di R&R Pahang hari ini

KUANTAN – Jumlah kenderaan di atas jalan raya semasa sambutan Tahun Baru Cina meningkat dengan sebanyak 114,503 kenderaan direkodkan, namun peratusan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini menurun sebanyak 13 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, statistik tersebut direkodkan sepanjang tujuh hari Op Selamat 17 sempena Tahun Baru Cina di Pahang.

Superintendan Kamarulzaman Jusoh

Jelasnya jumlah kemalangan pada tahun lepas sebanyak 385 berbanding 335 kes kemalangan tempoh yang sama iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 50 kes.

“Daerah Kuantan mencatatkan kes tertinggi 123 kes pada tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas 161.

“Op Selamat 17 juga bertujuan mengekang aktiviti jenayah dan pihak polis menerima 300 permohonan borang makluman balik kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette ketika pemantauan aliran lalulintas sempena Op Selamat 17 di Hentian Rehat dan Rawat Gambang, Kuantan hari ini.

Tambah Kamarulzaman sebanyak 1,377 rondaan telah dilaksanakan melibatkan 260 pegawai dan anggota trafik kontinjen Pahang.

“Manakala tiada kejadian pecah rumah direkodkan sepanjang Op Selamat dijalankan di negeri ini.

“Sepanjang tempoh yang sama, sejumlah 9,285 saman dikeluarkan berbanding tempoh yang sama 6,822 menunjukkan 2,463 bersamaan 36.1 peratus,” katanya.

Sehingga kini, sejumlah lapan tangkapan dibuat terhadap pengguna jalan raya melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, meunggang secara berbahaya dan diuji positif dadah.

“Penguatkuasaan secara meneluruh akan terus dilaksanakan sehingga Op Selamat selesai pada 6 februari nanti bertujuan memastikan keselamatan pengguna ters terjamin sepanjang musim Tahun Baru Cina 2022. – MalaysiaGazette