Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri menyatakan pendiriannya tidak mahu lagi terlibat dengan publisiti murahan.

Katanya, sudah tiba masanya beliau menumpukan perhatian terhadap perniagaan dan menjadi imej sebagai seorang ahli korporat.

“Sepanjang era pandemik ini, perniagaan saya memang sangat terkesan sehingga jualan turun sebanyak 40 peratus. Cuma rezeki saya tidak berhutang dengan bank atau berbelanja besar.

“Jadi, tumpuan saya sekarang adalah lebih kepada perniagaan. Lagi pun minat nak beraksi di depan kamera untuk menghasilkan content sudah tak macam dulu dan sudah puas merasainya,” katanya ketika ditemui semasa majlis malam penghargaan D’Herbs Terlajak Laris di One World Hotel Petaling Jaya yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, nasihat ibunya, Rozita Ibrahim juga banyak memainkan peranan untuk dia melalui fasa perubahan.

“Dahulu saya terlalu mementingkan populariti dan jumlah view di media sosial, sehinggalah ibu selalu memberikan nasihat kepada saya.

“Selain itu, keluarga juga merupakan faktor utama, apatah lagi anak-anak sudah semakin membesar. Cukuplah dengan apa yang saya pernah rasai sebelum ini,” katanya.

Aliff  tidak mahu perniagaannya berhadapan dengan kerugian sehingga berisiko untuk gulung tikar juga seperti perniagaan-perniagaan lain yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Apabila melihat keadaan ini berlaku, saya sedar bahawa betapa sekarang ini rakyat memang berhadapan dengan situasi yang sukar akibat pandemik ini.

“Disebabkan itu saya sudah kurangkan sifat riak dan menunjuk-nunjuk di media sosial kerana perlu jaga sensitiviti dan sentiasa ingatkan diri supaya tidak berbuat demikian,” tambahnya.-MalaysiaGazette